KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan melancarkan laman web "Malaysia Truly Business" (MTB) untuk menggerakkan satu inisiatif baru bertujuan "menjual" Malaysia sebagai salah satu destinasi perniagaan paling menarik di dunia.Menterinya Datuk Seri Azalina Othman Said berkata laman web itu akan menjadi sumber utama untuk bakal pelabur menjalankan penyelidikan dan menilai Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang unggul.

"Sebagai portal sehenti, laman web MTB mengandungi fakta yang akan menjadi landasan untuk Malaysia menunjukkan pelbagai peluang perniagan dan pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, pembuatan, perkhidmatan dan teknologi."

"Laman web MTB juga memaparkan "168 faktor" Malaysia merupakan destinasi terbaik untuk perniagaan dan pelaburan, dan saya percaya 168 faktor ini akan menarik ramai pelabur datang ke Malaysia," katanya ketika melancarkan laman web itu di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini, Isnin.

Beliau berkata inisiatif ini akan membuka satu era dalam membina penjenamaan Malaysia, yang kini dipandang tinggi dalam dunia pelancongan.

"Menjual negara ini sebagai sebuah destinasi perniagaan akan juga meningkatkan lagi kedatangan pelancong dan kosnya sama seperti untuk memasarkan pelancongan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) berbanding pelancong individu," tambah beliau.

Azalina berkata laman web ini juga akan merujuk bakal pelabur kepada agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Perindustian Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Multimedia, Perbadanan Bioteknologi Malaysia dan Bursa Malaysia.

"Saya harap laman web itu akan memberikan manfaat kepada Malaysia dalam aspek pelaburan terus asing terutamanya dalam keadaan ekonomi global sekarang," tambah beliau.

Laman web ini boleh dilayari di www.malaysiatrulybusiness.com.