KOTA BAHARU, 7 April (Bernama) -- Darul Quran di Kuala Kubu Baru, Selangor akan dinaiktaraf dengan pengambilan pelajar di peringkat ijazah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata langkah itu akan dapat melahirkan lebih ramai imam yang mempunyai kemahiran dalam bidang hafaz al-Quran.
"Pengambilan pertama di peringkat ijazah itu akan dimulakan pada Julai ini dan tawaran dibuka sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan di Balai Islam, di sini, Isnin malam.

Wan Mohamad berkata institusi pendidikan tahfiz al-Quran itu yang mempunyai kira-kira 3,000 pelajar pada masa ini hanya melahirkan pelajar di peringkat sijil dan diploma.

"Kemasukan ke institusi itu berdasarkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kita harap kenaikan taraf institusi pendidikan Darul Quran ini akan melahirkan lebih ramai imam yang hafaz al-Quran," katanya.

-- BERNAMA